SHAH ALAM : Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi mendedahkan bahawa beliau terpaksa menarik balik poster kutipan dana yang dilakukannya disebabkan ketetapan yang dibuat oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau turut mengakui agak sukar calon muda sepertinya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan dana yang kecil tanpa tajaan.

“Semua orang pun tahu ratus ribu kos bertanding di Parlimen. Jika nak tunggu cukup dana, sampai bila-bila hanya orang tua saja di arena pilihan raya.

“Niat saya, nak berusaha sendiri untuk duit kempen. Di Amerika Syarikat, United Kingdom biasa kutipan dana waktu pilihan raya, orang ramai akan bertanggungjawab dengan akauntabiliti ahli Parlimen disebabkan mereka menggunakan sumbangan orang ramai untuk bertanding,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Media pada Rabu melaporkan beberapa pemimpin parti politik dilihat mula melaksanakan kutipan dana daripada orang ramai bagi tujuan PRU15.

Dilaporkan, ada dalam kalangan ahli politik ini dilihat menggunakan akaun parti, peribadi atau syarikat yang dilantik bagi menguruskannya.

Tambah Nurul Ashikin, tidak ada paksaan dalam kutipan dana ini di samping parti-parti lain juga turut melakukan sedemikian sebelum ini.

“Tapi tak apalah. Walaupun misi meramaikan wanita muda di Parlimen tertangguh, semoga ada cara lain nanti untuk berbakti,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan berasa terharu kepada semua pihak yang menderma walaupun iklan dimuat naik olehnya itu dalam masa singkat.

“Walaupun singkat sahaja masa saya iklankan kutipan itu sebelum poster dipadamkan, saya tak sangka ramai yang bagi sumbangan. Terharu sangat.

“Saya doakan ALLAH ganti balik rezeki anda semua dengan lebih tinggi,” katanya. - Sinar Harian