KOTA BHARU: Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Arifin mengakui bukan mudah baginya menggalas tanggungjawab sebagai calon BN di kerusi Ketereh yang sebelum ini disandang figura hebat, Tan Sri Annuar musa.

Marzuani atau lebih mesra dengan panggilan 'Kak Gee' berkata, tekanan mula dirasainya apabila mendapat tahu dirinya dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding di Ketereh.

"Tekanan itu sedikit sebanyak memang ada kerana saya dipertaruhkan di kerusi figura hebat seperti Annuar. Apatah lagi ada beberapa jentera yang masih belum boleh menerima kenyataan.

"Cuma saya amat bertuah kerana mendapat sokongan kuat dan tunjuk ajar daripada beliau yang memang sangat dekat dengan pengundi Parlimen Ketereh," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Bantuan Tambahan Kepada Mangsa Ribut di Kampung Tegayong, di sini pada Ahad.

Menurut Marzuani, kehidupannya bertukar 360 darjah apabila rutin hariannya berubah secara drastik.

Katanya, selain perlu melunaskan gerak kerja yang padat dalam tempoh berkempen beliau perlu mendekati pengundi di kawasannya.

Namun, pengalamannya mengetuai pergerakan Puteri UMNO sebelum ini banyak membantu beliau menyesuaikan diri dengan 'dunia' baharunya.

"Saya harap pengundi di kawasan Ketereh beri kepercayaan kepada saya dan terus bersama untuk memastikan BN kekal menang bagi kerusi Parlimen Ketereh," katanya.

Parlimen Ketereh agak panas sebelum ini apabila penyandangnya Annuar tidak dipilih sebagai calon BN untuk bertanding pada PRU15 ini sebaliknya tempat beliau digantikan oleh Marzuani. - Sinar Harian