LAHAD DATU: Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu berkata mahu memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat Segama.  

"Saya akan fokus serta meneruskan tugas selaku ADUN Segama dengan memberi tumpuan kepada bantuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Rakyat tertekan akibat peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bekas Menteri Pelancongan itu turut tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap tindakan parti-parti politik yang tidak meletakkan orang tempatan sebagai calon di Lahad Datu.

"Kesilapan besar yang dibuat pihak atasan adalah menghantar orang bukan dari Lahad Datu untuk jadi calon di sini dan ini mengecewakan penduduk di sini.

"Biarlah saya tidak dicalonkan asalkan orang Lahad Datu jadi calon. Seperti yang saya katakan 'dicampak' dari atas dan minta Orang Lahad Datu 'telan' inilah calon dari syurga kamu undi ini," ujarnya.

Tambahnya lagi ada ramai penduduk Lahad Datu yang berkelayakan namun tidak terpilih sebagai calon.

"Orang Lahad Datu ada juga yang berpelajaran tinggi dan berpengalaman namun mengapa mereka diperlakukan begini.

"Tidak semestinya saya asalkan orang tempatan. Calonkan orang luar mengundang kekecewaan orang Lahad Datu.

Pada PRU14, Mohamaddin memenangi kerusi Parlimen berkenaan atas tiket Warisan dengan majoriti 6,401 undi mengatasi empat pencabar lain.

Sebelum ini, Mohamaddin menyatakan kesediaannya bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Lahad Datu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).