KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberi bayangan dia akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. 

Nurul Izzah berkata dirinya secara peribadi mahu meneruskan khidmat kepada rakyat di Parlimen Permatang Pauh memandangkan ada beberapa perkara yang masih belum diselesaikannya.

"Kalau ikutkan hati, memanglah kita mahu menawarkan diri untuk mendapatkan 'kontrak' kerja lima tahun akan datang sebab saya masih ada beberapa projek yang masih berjalan.

"Jadi saya fikir (Permatang Pauh) menjadi pilihan yang paling ideal," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis makan malam Social and Economic Research Initiative di sini, pada Selasa.

Namun begitu Nurul Izzah berkata, beliau akur dan menghormati sebarang keputusan pimpinan atasan PKR.

"Kita semua adalah 'askar' dan perlu akur kepada keputusan dan arahan," tambahnya.

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Dia memperolehi 35,534 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982.