BENTONG: Kerusi Parlimen P.089 Bentong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka menjadi antara kerusi panas di negeri Pahang di antara DAP dan MCA.

Desas-desus mengatakan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bakal kembali merampas semula kerusi yang dimenanginya selama empat penggal sejak tahun 1999 sebelum tewas dalam PRU lalu.

Meskipun belum ada keputusan rasmi bahawa bekas Menteri Kesihatan itu akan bertanding di kerusi berkenaan.

Ia dikuatkan lagi khabar angin itu dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong baru-baru ini menjelaskan bahawa parti itu menyokong pencalonan semula Liow bagi merampas kembali kerusi tradisi MCA itu.

Parlimen Bentong menjadi kerusi selamat buat MCA selama 13 PRU sebelum dirampas DAP pada tahun 2018.

Sementara itu, DAP dikatakan masih mencatur calon di kerusi berkenaan, antara nama yang disebut-sebut penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Bagaimanapun menjawab khabar angin itu kepada media sebelum ini, Young mengatakan beliau akur sekiranya diarahkan bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Untuk rekod, PRU14 lalu menyaksikan Liow yang hanya meraih 23,684 undi tewas kepada penyandang kerusi itu dari DAP, Wong Tack dengan majoriti 2,032 undi.

Jumlah pemilih pula seramai 67,359 pemilih layak mengundi dan dijangka berubah dalam PRU kali ini selepas mengambil kira pengundi yang didaftarkan secara automatik berusia 18 tahun.

Komposisi penduduk pula, Melayu 46.5 peratus diikuti Cina 41.69 peratus dan India 9.16 peratus.