KUANTAN: Pemilihan penyandang Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat dengan persetujuan wakil Pas, yang sebelum ini telah dinamakan akan bertanding di situ.

Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata rundingan pertukaran calon Parlimen Maran itu telah berlangsung dalam suasana baik dan pemilihan Ismail adalah berdasarkan rekod pencapaian Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu di kawasan tersebut.

Ditanya mengenai sentimen rakyat dan ahli parti berhubung pertukaran calon pada saat-saat akhir, Saifuddin berkata PN adalah sebuah parti yang sangat terbuka.

"Saya faham ada yang melihat ini pertukaran parti... (bagaimanapun) ia tidak termasuk dalam akta pertukaran parti kerana akta itu adalah (terpakai) selepas seseorang itu telah dipilih menjadi Ahli Parlimen yang dalam hal ini, masih belum lagi.

"Ia tidaklah terlalu terhad hanya kepada soal perpindahan atau pertukaran parti kerana yang diutamakan ialah kita hendak mencari calon yang sesuai, yang ada rekod pencapaian," katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Maran Ramli Awang Abdul Rahman berkata rundingan secara baik telah dibuat bersama Fazil Azmi Nadzri yang sebelum ini telah diumumkan sebagai calon PN di Parlimen Maran.

"Beliau (Fazil) bersetuju untuk memberi laluan kepada Ismail," katanya dan menambah tiada kerusi gantian diberikan kepada Fazil.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pada majlis di Terengganu semalam mengumumkan Ismail akan bertanding atas tiket PN di situ bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pengumuman itu dibuat tiga hari selepas Ismail sah digugurkan daripada senarai calon BN dan digantikan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ismail menang dengan majoriti 3,763 undi menewaskan calon PAS Hasenan Haron yang mendapat 12,301 undi manakala calon PKR Ahmad Farid Ahmad Nordin memperoleh 4,360 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRU15, hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

-- BERNAMA