IPOH: Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Barisan Nasional (BN) Perak bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang masih kekal seperti PRU14.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengagihan itu masih tertakluk kepada keputusan di peringkat Dewan Tertinggi BN.

“Setakat ini kita (kekal) status quo, kecuali jika ada perbincangan dan keputusan yang diputuskan oleh BN  Pusat. Setakat ni di peringkat negeri, status quo seperti mana sebelum ini (termasuk kerusi yang UMNO kalah seperti di Behrang)… ya status quo, seperti dulu,” kata Saarani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, pada Selasa.

Menurut Saarani, lazimnya BN hanya akan meletakkan calon di mana-mana kerusi DUN yang berpotensi untuk menang.

Pada Ahad, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran meminta pucuk pimpinan BN memperuntukkan satu kerusi DUN Perak dengan peratus kemenangan tinggi untuk parti itu pada PRU15.

Vigneswaran berkata, tindakan itu bagi membolehkan wakil masyarakat India itu dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri, sekali gus membantu masalah kaum berkenaan.

Pada PRU14, MIC bertanding tiga DUN iaitu Buntong, Jelapang dan Sungkai, namun, tewas kesemuanya kepada DAP.