BERA: Barisan Nasional (BN) yakin mampu melepas majoriti mudah iaitu memperoleh 112 kerusi sekali gus membentuk kerajaan sebaik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, sasaran itu mampu dicapai bersama-sama dengan sokongan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak masing-masing melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Kalau kita boleh cross 112 (kerusi Parlimen), kita tak tunggu lagi pembentukan kerajaan, sebab itu saya minta kepada pengundi memberikan undi kepada parti mewujudkan kestabilan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kerayong di sini pada Sabtu.

Kata Perdana Menteri, BN tidak akan sesekali meninggalkan rakan kongsi mereka di Sabah dan Sarawak dalam pembentukan kerajaan.

"Yang pasti kita dalam pembentukan kerajaan baru, kalau kita mampu bentuk kerajaan sendiri tanpa sokongan yang lain, tapi kita bekerjasama dengan parti di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kita tak boleh tinggalkan rakan kongsi di Sabah dan Sarawak, tapi di Semenanjung kita tunggu dan lihat selepas PRU diumumkan keputusan dan ini adalah perkara besar dan perlu dapat persetujuan kepimpinan tertinggi parti untuk buat keputusan," jelasnya.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya, tiada majoriti mudah berjaya dicapai oleh mana-mana gabungan parti politik, negara akan berdepan hung Parliament.

"Ini bermakna kalau kita lepasi majoriti mudah kita tak bermasalah lagi, kita boleh bentuk kerajaan.

"Kalau tidak (capai majoriti mudah), kemungkinan akan berlaku hung parliament dan bila hung parliament tentu sahaja akan wujud ketidakstabilan dalam negara kita," katanya lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan campuran pula, kata Ismail Sabri, perkara itu hanya akan diketahui selepas keputusan diumumkan.

Beliau mengulas desas-desus pembentukan kerajaan campuran sekiranya tiada parti melepasi majoriti mudah.

"Kita tunggu lepas PRU, lepas keputusan dibuat baru kita tentukan sama ada kita bentuk kerajaan sendiri, kerajaan campuran semuanya selepas PRU,” jelas beliau lagi.