KUALA NERANG: Kepimpinan UMNO di semua Parlimen termasuk yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) diseru merapatkan saf kepimpinan sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, dalam pilihan raya akan menjadi perkara biasa sekiranya terdapat nama baharu serta nama lama yang dicalonkan, serta ada juga pemimpin lama yang tidak disenaraikan semula.

"Saya menyeru kepada seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat di semua kawasan Parlimen agar dapat berada dalam saf kepimpinan UMNO untuk meneruskan pilihan raya PRU15 atas pasukan BN.

"Bukan saja UMNO, semua pun akan ada perkara yang sama (pimpinan yang digugurkan dari senarai calon), jadi kita kena cari jalan macam mana nak selesaikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir Program Pemantapan Sahsiah Diri di Dewan Tunku Putra di Kuala Nerang, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan sebilangan kepimpinan UMNO yang digugurkan dari senarai calon BN  dijangka bertanding di atas tiket parti lain seterusnya bertembung dengan calon BN sendiri pada PRU15.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan empat menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon PRU15.

Mereka ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Semalam Shahidan mengesahkan akan meneruskan hasrat bertanding di Parlimen Arau dalam PRU kali ini.

Shahidan berkata, beliau belum membuat keputusan untuk bertanding atas tiket parti tertentu ketika ini namun memberitahu ahli cawangannya memilih parti yang bergerak ke arah Muafakat Nasional bersama Pas dan Bersatu.

Mahdzir berkata, pimpinan terbabit diharap tidak terlalu memikirkan perkara-perkara yang boleh merosakkan atau menjejaskan BN itu sendiri pada kemudian hari.