KUALA LUMPUR: Pertarungan sengit berlaku di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Kaji selidik yang dilakukan Ilham Centre mendapati, BN masih menjadi pilihan pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, PN bagaimanapun, menjadi pemecah undi BN namun masih sukar menggugat kedudukan parti itu.

Hisomuddin juga menjelaskan, kaji selidik pihaknya mendapati Pakatan Harapan (PH) terus menerima sokongan pengundi bukan Melayu.

“PN gah mencabar BN di kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpencar, namun begitu, ia masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Kekuatan ini bak iklan syampu ‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan Melayu.

“PN semakin memecahkan tabung undi tetap BN, PN secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi antara BN dan PH,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kaji selidik itu menunjukkan, PH dijangka memperoleh sekitar 43 kerusi di kawasan pengundi Melayu di bawah 50 peratus di Semenanjung sementara, satu lagi kerusi dijangka dimenangi BN.

PH juga diunjur memenangi 30 kerusi di kawasan campuran yang mempunyai pengundi Melayu sekitar 50 hingga 69 peratus.

Manakala BN diunjurkan memperolehi sembilan kerusi, sementara PN dijangka hanya menang satu kerusi.

Di kawasan yang mempunyai pengundi majoriti Melayu antara 70 hingga 100 peratus pula, BN diunjurkan mampu memenangi 38 kerusi, PN 24 kerusi manakala PH enam kerusi.

PH juga diramal menang enam kerusi di Sarawak dan dua di Sabah dan Labuan, manakala BN akan menang tiga di Sabah dan Labuan.

Gerakan Tanah Air pula dijangka hanya menang satu kerusi.

Di kawasan Semenanjung juga, Ilham Centre menjangkakan terdapat 12 kerusi yang berada dalam pertandingan sengit atau 50-50.

Masing-masing enam kerusi di kawasan pengundi Melayu antara 50 hingga 100 peratus.

Dalam laporan pola sokongan pengundi dan prediksi PRU15 itu juga, Ilham Centre melihat blok Borneo akan menjadi penentu pembentukan kerajaan.

Ilham Centre menjangkakan PH menguasai enam  daripada 31 kerusi di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga akan berjaya menang sekitar 18 kerusi dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga akan menang satu kerusi dan enam kerusi menyaksikan persaingan sengit.

Manakala di Sabah dan Labuan, Ilham Centre meramalkan BN akan menguasai tiga kerusi, PH dua kerusi, Parti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing akan menang enam kerusi, Bebas satu kerusi, dengan terdapat lapan daripada 26 kerusi dijangka berada dalam keadaan sengit.

Antara kawasan sengit yang dijangkakan Ilham Centre termasuklah Kangar, Arau, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang dan Sungai Buloh.

Tidak ketinggalan Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Kimanis dan Lawas.

Kajian tersebut dijalankan selama tiga minggu bermula 30 Oktober 2022 sehingga 17 November 2022 yang melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar daripada 150 responden di seluruh negara.