TUARAN: Kerusi Parlimen Tuaran menyaksikan persaingan enam penjuru antara calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS); Pakatan Harapan, Parti Warisan, Pejuang dan dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Syahrin Samsir turut memaklumkan susunan nama calon pada kertas undi sewaktu mengisytiharkan keputusan pencalonan selepas ditutup pada jam 10 pagi.

Pertembungan tersebut melibaykan Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Datuk Wilfred Madius Tangau (PH), Jo-Anna Sue Henly Rampas (Warisan), Muminin Kalingkong (Pejuang), Nortaip Suhaili (Bebas), dan Boby Lewat (Bebas).

Apa yang menarik di P170 Tuaran, ketiga-tiga calon iaitu Joniston; Jo-Anna Rampas dan Madius Tangau berasal dari Kiulu.

Madius ketika ditemui berkata, beliau akan membawa naratif menuntut 40 peratus pungutan hasil negeri Sabah daripada Kerajaan Pusat jika berjaya memenangi kerusi Parlimen itu.

"Antara yang paling penting ialah apa yang terkandung dalam Artikel 112C, Seksyen 2 Bab 4 bawah 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini terkandung dalam tawaran Pakatan Harapan kepada rakyat pada kali ini dan apabila kita menang kita akan melaksanakan," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon.

Bagi Joniston pula, kestabilan ekonomi dan keutuhan kerajaan merupakan mesej utama yang ingin disampaikan kepada pengundi di Tuaran pada PRU15.

Katanya, rakyat di kawasan itu mampu menilai calon yang terbaik bagi mewakili Tuaran berdasarkan rekod prestasi kerajaan negeri dipimpin GRS.

Sementara itu, bagi Jo-Anna, isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi asas sepanjang kempen dan akan diperjuangkan jika dipilih sebagai wakil rakyat Parlimen Tuaran.