KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan terus menumpukan tenaga dan perhatian kepada naratif untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membawa penyelesaian kepada permasalahan hari ini dan masa depan.

Jelas Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, naratif itu yang akan menentukan berjaya atau tidak kempen politik mereka, bukannya bergantung kepada soal gabungan dengan parti lain untuk mencapai matlamat membentuk kerajaan.

Malah jelasnya, rakyat hari ini sebenarnya sangat cerdik untuk menilai setiap tutur kata dan tingkah laku para pemain politik sama ada mereka benar peduli tentang rakyat atau sebaliknya.

“Bergabung pun kalau ia tidak serasi, maksudnya orang ini kepala ke lain dan orang itu kepala ke lain, bila berada dalam satu kerajaan masing-masing fikir pasal diri dan parti masing-masing, kita akan mengulangi keadaan yang lepas.

“Ia bukan tentang nak menjadi kerajaan semata-mata, kalau atas sebab strategi gabungan untuk menjadi kerajaan itu kita rasa rakyat boleh memaafkan kalau kita ambil orang atau gabungan yang rekodnya tak baik.

“Bagi saya, untuk memenangi pilihan raya adalah memenangi hati rakyat, dan memenangi hati rakyat ini ialah meyakinkan mereka bahawa kita tolak tepi soal kuasa, gabungan tetapi fokus kepada isu mereka,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Selasa malam.

Justeru, PH bermatlamat untuk menjadi gagasan paling kuat untuk memenangi seberapa banyak kerusi di Parlimen dan jika itu berlaku, menurut Rafizi, sudah pasti parti lain akan datang kepada mereka untuk membentuk kerajaan.

Kalaupun ada kerjasama politik selain PKR, Amanah, DAP dan UPKO, ia hanya dengan parti MUDA setakat ini dan apa-apa kebarangkalian tentang pembentukan kerajaan, itu akan dibicarakan selepas PRU nanti.


PRU15 | PH fokus naratif bela rakyat, tolak tepi soal gabungan bentuk kerajaan - Rafizi Ramli