BUKIT MERTAJAM: Pengagihan kesemua 222 kerusi Parlimen antara parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah dimuktamadkan.

Namun Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rundingan lanjut bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih berjalan dan akan dimuktamadkan pada 29 Oktober ini.

"Pada 29 Oktober ini, jam 2 petang, pimpinan Top Four akan memuktamadkan proses rundingan dengan MUDA dan PSM.

"Jawatankuasa PH yang diwakili parti-parti gabungan telah mengadalan perbincangan dengan MUDA dan PSM pada Ahad lalu dan hasil perbincangan itu hanya akan dimuktamadkan apabila diperakui oleh Top Four di peringkat PH," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Operasi PH Parlimen Bukit Mertajam pada Rabu.

Mengulas lanjut, kata Saifuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, rundingan akhir itu perlu bagi mengelak berlakunya sebarang pertindihan kerusi antara parti-parti komponen di dalam PH.

"Sebagai contoh, kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu adalah milik PKR. Tapi, kalau MUDA (atau PSM) juga menuntut kerusi yang sama, kita akan bincang secara bilateral," katanya sambil memberitahu PH akan mengeluarkan kenyataan hasil rundingan itu sejurus perbincangan itu selesai. 

Dalam pada itu, Saifuddin yang turut membayangkan akan mengekalkan kerusinya pada PRU15.

Pun begitu katanya, keputusan itu akan diputusakan oleh pimpinan parti.