IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, keputusan itu dibuat bagi memenuhi hasrat rakyat yang mahukan pembentukan kerajaan yang stabil di Perak.

“Amanah Perak bersama-sama dengan PH Perak akan membentuk sebuah kerajaan baharu di Perak dengan BN. Ertinya, ia sebuah kerajaan yang dibentuk oleh PH dan BN akan mentadbir Perak.

“Dan Insya-Allah akan membentuk sebuah kerajaan yang stabil, sebagai memenuhi hasrat kebanyakan rakyat yang ingin melihat kerajaan baharu ini sebuah kerajaan yang berjaya mentadbir negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikan menerusi satu rakaman video di laman Facebook beliau yang berdurasi 38 saat pada Isnin.

PRU15 menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti politik yang berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Ketika ini, Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi 24 kerusi.

Sementara BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Howard Lee Chuan How ketika ditemui pemberita di luar pintu Istana Kinta memberi gambaran positif berhubung penubuhan kerajaan negeri.

"Segalanya adalah mungkin, segalanya nampak positif. Saya tidak mengadap Sultan Perak, saya hanya sebagai pekerja sebalik tabir sahaja dan saya tengah menunggu dan datang untuk menghantar dokumen sahaja.

"Saya Ahli Parlimen PH jadi sudah tentulah saya datang mewakili PH," katanya.