KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) semalam mengumumkan empat calonnya bertanding di empat kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden PKDM Datuk Peter Anthony berkata mereka yang akan bertanding ialah Timbalan Presiden PKDM Datuk Wetrom Bahanda di kerusi Kota Marudu, Ketua Pemuda PKDM Jumardie Lukman (Sepanggar), usahawan Amat Mohd Yusof (Kimanis) dan ahli perniagaan Liaw Kit Siong (Kota Kinabalu).

"Pada Sabtu ini, saya akan mengumumkan lagi dua atau tiga calon dalam satu majlis di Tenom. Banyak juga permintaan penyokong di akar umbi untuk meletakkan calon di kawasan mereka.

"Namun kami adalah parti kerdil yang masih baharu dan kami akan berbincang serta buat pertimbangan mengenai perkara berkenaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Ditanya kemungkinan PKDM untuk berkerjasama dengan parti lain menghadapi PRU15, Peter berkata setakat ini PKDM akan bergerak secara bersendirian.

"Kami sememangnya menyokong kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sebelum ini kami telah menghantar surat mengenai hasrat kami (menyertai GRS), namun sehingga kini kami belum mendapat jawapan daripada pihak GRS. Apa yang penting kami kena fikir dulu di peringkat parti," katanya.

Ditanya sama ada PKDM menerima permohonan daripada wakil rakyat untuk menyertai parti berkenaan, Peter berkata sememangnya ada wakil rakyat yang 'merisik-risik' namun masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara itu.

"Biasalah, risik-risik itu memang ada namun itu tidak semestinya jadi kenyataan...kadang-kadang yang tiada datang merisik pula yang jadi (sertai PKDM)," katanya tanpa mengulas lanjut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

-- BERNAMA