KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 30 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali dalam kenyataan berkata ia melibatkan lima kertas siasatan di Perak, Kelantan (4), Negeri Sembilan (4), Selangor (3), Pahang (3), Sarawak (3), Kedah (3), Kuala Lumpur (2) manakala Terengganu, Sabah dan Melaka, masing-masing satu.

Beliau berkata antara kesalahan yang disiasat adalah berkaitan perbuatan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427, 436, 505(b) Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: GTA tidak akan kerjasama dengan BN, PN - Tun M

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Hazani berkata tujuh individu ditahan semalam termasuk dua masing-masing di Sarawak dan Kelantan.

Beliau berkata individu di Sarawak ditahan kerana disyaki membakar enam helai bendera dan dua keping gambar milik sebuah parti politik di Bintulu, manakala seorang lagi ditahan di Kelantan kerana disyaki membawa keluar kertas sulit undi semasa proses undi awal di Tumpat.

Hazani berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,522 permit mengadakan ceramah semalam iaitu Sabah dan Sarawak masing-masing 265, Kedah (158), Kelantan (122), Johor (120), Pahang (119), Terengganu (90), Melaka (85), Selangor (70), Perak (67), Negeri Sembilan (59), Pulau Pinang (56), Kuala Lumpur (26) dan Perlis (20).

-- BERNAMA