AMPANG JAYA: PKR malam ini mengumumkan Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli kembali bertanding di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Turut diumum penyandang Parlimen Pandan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail di Parlimen Ampang.


BACA: PRU15: PKR umum Maszlee Malik pertahan Simpang Renggam, Wan Azizah ke Bandar Tun Razak

Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari pula akan bertanding di Parlimen Gombak.

Sebelum ini, Mohd Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan pada PRU13 menewaskan Lim Chin Yee (BN-MCA) dan Tan Yew Leng (BEBAS) dengan majoriti 26,729 undi.

Beliau tidak bertanding pada PRU14 kerana hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2018 menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana mendedahkan butiran empat akaun bank membabitkan Pusat Fidlot Nasional (NFC).