GOMBAK: Rakyat berhak menghukum pemimpin politik yang menjadi punca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara dijangka berdepan banjir bulan depan.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat, tindakan terburu-buru yang diambil itu dilihat mengenepikan kepentingan rakyat.

"Saya serahkan balik kepada rakyat, kalau ada pihak degil, yang tidak mahu memahami dan merasai denyutan nadi rakyat, biarlah rakyat hukum mereka.

"Mengapa terlalu degil atau angkuh untuk tunduk kepada aspirasi rakyat? Tidak sukar, kerana kita telah berbincang dan memutuskan ini adalah masa beri tumpuan kepada pemulihan ekonomi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Hari MITI 2022, di sini, pada Ahad.

Tindakan mengheret rakyat ke kancah PRU15, juga dakwa Azmin, adalah berdasarkan niat pihak tertentu bagi memastikan peratusan keluar mengundi sedikit.

"Kemungkin banjir besar itu adalah benar berdasarkan jangkaan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia). Ini harus kita beri perhatian bagaimana pusat pembindahan banjir nak disamakan dengan pusat pengundian.

"Di sesetengah kampung hanya ada satu dewan sekolah, di situ tempat buang undi dan menempatkan mangsa banjir.

"Apa yang akan berlaku dalam proses pengundian sekiranya banjir besar dan hujan lebat (hanya)  menyebabkan jambatan putus, jalan rosak, maka hak rakyat itu dinafikan," kata Azmin lagi.

Justeru, tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu lagi, meskipun bakal menghadapi kekangan berikutan bencana banjir, namun, setiap warganegara yang layak perlu menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian kelak dalam menentukan kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

"Kita mesti memastikan setiap rakyat diberikan peluang dan ruang selesa menentukan masa depan negara.

"Ada pihak yang tidak mahu peraturan keluar mengundi tinggi, kerana pertusan keluar mengundi rendah, mereka berandaian berpihak kepada mereka.

"Saya mengajak semua pengundi, melaksanakan tanggungjawab ini berani dan bertanggungjawab, keputusan kita buat ini beri kesan (kepada) kita dan anak generasi akan datang," jelas Azmin lagi.

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan serta merta selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan PRU15 diadakan.

Tegasnya pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.