KUALA KANGSAR: Dua hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad selesai mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, di sini pada Isnin.

Istiadat Angkat Sumpah dan Menerima Watikah Pelantikan itu berlangsung pada jam 5.30 petang di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Saarani yang juga merupakan bekas Menteri Besar Perak dalam penggal terdahulu hadir ke istana dengan memakai Baju Melayu hitam dan turut ditemani isterinya, Datin Seri Aezer Zubin.

Turut hadir ke istana ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Chang Lih Kang dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Selain itu, beberapa ADUN daripada gabungan parti itu yang baharu dipilih dalam PRU15 juga turut hadir ke Istana Iskandariah.

Difahamkan, Saarani akan mengadakan sidang media selepas selesai istiadat tersebut di sebuah hotel di Kuala Kangsar.

Dalam sidang media sebelum itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu memaklumkan BN bersetuju bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak.

Menurutnya, semua ADUN daripada BN menyokong kerjasama tersebut, membolehkan gabungan PH - BN membentuk kerajaan selepas memperoleh 33 kerusi (PH - 24 kerusi, BN - 9 kerusi).

Meskipun Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah kerusi terbanyak dengan 26 kerusi namun kegagalan untuk mendapat sokongan BN menyaksikan Perak bakal ditadbir gabungan baharu iaitu PH dan BN.

Istiadat mengangkat sumpah itu sekali gus menamatkan terus teka-teki berhubung gabungan mana akan mentadbir kerajaan negeri susulan tiada parti memperoleh majoriti mudah 30 daripada 59 kerusi DUN dalam PRU15.