BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau sedia memberi laluan sekiranya ada calon yang lebih baik untuk bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, apa yang penting ialah calon itu mestilah boleh memberi khidmat dan diterima oleh rakyat.

“Saya sentiasa bersama dengan rakyat, perkhidmatan saya tak mengira musim, jadi kalau rakyat berkehendakkan pemimpin yang boleh membantu mereka, saya bersedia.

“Jika keputusan pucuk pimpinan mencadangkan orang lain, tetapi calon itu lebih baik daripada saya dan boleh beri perkhidmatan, rakyat boleh terima, saya tak ada masalah untuk beri laluan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi di Jeti Pengkalan Nelayan Tok Lin, Trong, dekat sini, pada petang Jumaat.

Menurut Syed Abu Hussin, setakat ini, belum ada mana-mana pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbincang dengannya mengenai perkara itu.

Katanya, walaupun parti sudah putus ataupun tidak, beliau akan tetap memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Pada 16 September lalu, Syed Abu Hussin membayangkan kesediaan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang atas tiket bebas, jika parti tidak memilihnya.

Dalam masa sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang dijangka menjadi antara kerusi yang menjadi rebutan kerana Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad juga dikatakan ingin bertanding di kerusi itu yang pernah dimenanginya pada PRU13.

Pada PRU14, Syed Abu Hussin yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan Idris sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas dan kemudiannya menyertai Bersatu.