KUCHING: Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) mengesahkan akan bertanding di lapan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya Datuk Othman Abdillah dalam kenyataannya berkata SEDAR memberi tumpuan kepada kerusi parlimen kawasan Melayu-Melanau di Sarawak.

“Antaranya termasuk Petra Jaya, Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Tanjung Manis, Igan dan Mukah,” katanya.

Menurutnya pemilihan kawasan-kawasan ini bagi mengelakkan pertembungan dengan parti pembangkang lain di negeri itu.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama parti-parti pembangkang Sarawak dalam satu mesyuarat pada 21 Jun lalu.

“Ia sebagai permulaan kepada pakatan kerjasama dalam menghadapi PRU15 kelak.

“Dengan ini SEDAR tidak akan bertembung dengan parti pembangkang lain pada pilihan raya sekali gus memastikan pertandingan satu lawan satu kelak,” katanya.

Untuk rekod, semua kerusi majoriti Melayu-Melanau itu dimenangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam PRU14.

Manakala baki 23 lagi kerusi Parlimen akan ditandingi oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Parti Aspirasi Sarawak (Aspirasi) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Dengan keputusan tersebut membayangkan parti berkenaan tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kebarangkalian pertembungan antara blok pembangkang pada PRU15 nanti dilihat tinggi seperti apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 pada 18 Disember lalu.

Pada PRN lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 daripada 82 kerusi, manakala empat kerusi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diwakili PSB dan dua DAP.