KUANTAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tindakan sesetengah parti politik yang tiada sokongan akar umbi tetapi mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu sebagai hanya mengacau undi.

Walaupun demokrasi membenarkan mana-mana parti politik untuk bertanding, namun beliau melihat tindakan parti berkenaan hanya bersandarkan dendam dan isu peribadi.

"Itu saya tak faham dan saya tak nampak, mereka (parti tertentu) ini tahu mereka tidak boleh menang dan tiada akar umbi tetapi mereka ingin masuk bertanding.

"Ini bagi tujuan, saya rasa mungkin memecahkan undi," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Warga Emas Dan Jubli Emas Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia bahagian negeri Pahang di sini pada Selasa.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI

Tambahnya yang juga Menteri Besar, pengundi kini lebih bijak memilih kerajaan yang mempunyai track record yang baik untuk diberi mandat pada PRU kali ini.

"Mungkin mereka (parti politik berkenaan) berasakan atas sebab tertentu, peribadi atau tidak setuju dengan kerajaan atau parti sedia ada.

"Saya tidak faham sehingga hari ini, sebab mereka ini parti yang baharu tetapi tidak nampak hala tuju dan track record kita tak tahu," jelasnya lagi.

Meskipun enggan menamakan parti terbabit, tambah Wan Rosdy, kegagalan parti terbabit selama 22 bulan sudah cukup untuk difahami oleh pengundi di negeri Pahang.

"Kalau melihat orang yang sama selepas 9 Mei 2018, kalau mereka itu juga menubuhkan parti-parti kecil ini, track record mereka gagal.

"Sebab itu mereka hanya bertahan selama 22 bulan. Saya ingat mereka semua dah matang saya fikir mereka tahu siapa saya maksudkan," katanya.

Sehingga kini, hanya Gerakan Tanah Air (GTA) yang menyatakan pendirian akan bertanding di kesemua 13 kerusi Parlimen di negeri Pahang dalam PRU kali ini.

Bagaimanapun, BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum mengumumkan jumlah kerusi akan ditandingi mereka.

Pada PRU lalu, BN memenangi 25 kerusi DUN, manakala PH sembilan kerusi dan Pas lapan kerusi.

Bagi kerusi Parlimen pula, BN menguasai sembilan kerusi dan bakinya disandang PH.