MALAYSIA
Menteri Senegal lakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

Yassine Fall, Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal. - Foto Instagram
PUTRAJAYA: Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal Yassine Fall akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Isnin.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan itu merupakan timbal balas kepada lawatan rasmi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada Mei 2024.
Fall dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti pertemuan dengan Menteri Luar yang akan mengusahakan majlis makan tengah hari bagi meraikannya.
"Kedua-dua Menteri Luar dijangka mencapai kemajuan kerjasama dua hala untuk mengukuhkan lagi kolaborasi dalam bidang-bidang utama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, industri halal dan pembangunan kapasiti," menurut kenyataan itu.Mereka juga dijangka membincangkan dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk perkembangan di Timur Tengah dan Afrika Barat.
Sepanjang lawatan, Fall juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Malaysia dan Senegal menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1986 dan terus mengekalkan hubungan yang mesra dan konstruktif melalui kerjasama di platform dua hala dan pelbagai hala.
Lawatan Fall dijangka dapat memperkukuh lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Senegal mencatat nilai sebanyak RM1.37bilion, dengan eksport Malaysia ke Senegal berjumlah RM1.35 bilion sementara import bernilai RM14.1 juta.
Dari Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan direkodkan sebanyak RM789.20 juta dengan eksport Malaysia ke Senegal bernilai RM781.92 juta dan import sebanyak RM7.28 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami