TASEK GELUGOR: Menerima pemimpin daripada UMNO yang digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bukti keterbukaan gabungan itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penerimaan itu juga dibuat selepas melakukan pertimbangan sewajarnya selain mengambil kira beberapa faktor khususnya agenda perjuangan yang dibawa pemimpin berkenaan.

"Itu bukti bahawa kita sentiasa terbuka menerima mereka yang boleh menawarkan perkara yang baik untuk rakyat, jadi tak semua diterima, ada yang diterima, ada yang memohon tetapi ditolak, ada yang mungkin kita tak offer langsung.

"Jadi perkara tersebut berlaku dan ia melambangkan keterbukaan kita kepada mereka yang mendukung agenda perjuangan yang sama," katanya.

Wan Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan calon Tasek Gelugor dan pelancaran jentera PN Tasek Gelugor, di Taman Sena Jaya, malam tadi.

Hadir sama, Penyandang Kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya, Ketua Bahagian PN Tasek Gelugor, Azmi Alang.

Wan Saiful mengulas tindakan beberapa nama besar dari UMNO antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN), bertindak bertanding pada PRU kali ini menggunakan tiket PN.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan jentera di Tasek Gelugor, Wan Saiful berharap jentera gabungan dalam PN akan berganding bahu untuk memenangkan parti pada PRU15.

Beliau berkata, pada masa ini ketepikan dahulu soal perasaan, sebaliknya menumpukan usaha memenangi hati dan meraih sokongan pengundi  di kawasan Tasek Gelugor.

"Pilihan raya ini berlaku lima tahun sekali, kita bukan tiap-tiap hari berlaku pilihan raya ni, jadi sudah pasti  ada benda-benda yang kalau kita nak buat gerak kerja, hubungan antara manusia, mungkin ada rasa kecil hati dan macam-macam,

"Bila kita bergerak sebagai satu pasukan, saya harap semua tu boleh diketepikan, dan fokus memenangi pilihan raya terlebih dahulu," jelasnya.