IPOH: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pilihan raya yang terpenting bagi memastikan negara kembali berada di landasan yang betul.

Jika gagal, dibimbangi penyalahgunaan kuasa yang berlaku sebelum ini akan berterusan, kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Malaysia boleh melakukannya kerana telah menunjukkan kepada dunia, daripada sebuah negara miskin, membangun menjadi Harimau Asia.

"Itu kejayaan kita, Malaysia boleh, kita boleh, orang Melayu boleh. Tetapi kalau dapat penyangak sebagai pemimpin, segala-galanya tak boleh.

"Sebab itulah kita jangan salah gunakan kuasa kita, kuasa mengundi. Apabila kita ada pilihan raya, undilah parti yang baik dan tolaklah parti penyangak, parti yang menipu, yang mencuri duit dan sebagainya," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Menurut Dr Mahathir, pihaknya akan mendedahkan lebih banyak kesalahan yang dilakukan kerajaan sekarang dengan buktinya sekali.

Beliau berharap mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Katanya, parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air akan terus berjuang untuk semua rakyat Malaysia, termasuk kaum-kaum lain di negara ini.