KUCHING: Parti Rakyat Sarawak Bersatu  (SUPP) telah menyerahkan nama kesemua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk disahkan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, SUPP mengesahkan akan kekal bertanding di semua tujuh kerusi tradisi parti itu tanpa sebarang perjanjian pertukaran di saat akhir antara komponen parti lain yang bersama di bawah naungan GPS.

“Daripada pihak SUPP sendiri, kami telah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding tetapi SUPP masih memerlukan nasihat Pengerusi GPS kerana beliau adalah satu-satunya yang diberikan kuasa di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengeluarkan watikah perlantikan kepada calon.

“Premier Sarawak, akan memanggil kesemua calon ini selepas pihak SPR bermesyuarat esok (Khamis) dan menentukan tarikh penamaan calon, sekarang ini terlalu ramai calon, kita tidak tahu siapa yang akan terpilih dan semestinya saya senang hati dalam situasi ini.

Dalam keterujaan untuk menghadapi PRU15, Dr Sim mengakui beliau masih perlu memberikan perhatian serius terhadap isu-isu dalaman parti itu yang mungkin berlaku sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

”Cuma apa yang saya risaukan sekarang ini ialah isu-isu dalaman yang akan menjadi musuh terbesar kepada parti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Seminar Hari Kaunseling Sedunia 2022 di sini pada Khamis.

Timbalan Premier Sarawak itu menambah, tidak ada istilah kerusi panas dalam pilihan raya dan SUPP akan memandang serius serta fokus untuk kemenangan di semua kerusi bukannya hanya kerusi tertentu sahaja.

“Setiap kerusi adalah panas, jika kamu pergi ke Miri (selain Sibu, Stampin, Bandar Kuching) juga panas, ini bergantung kepada perspektif masing-masing, setiap kali pilihan raya setiap kawasan akan ada isu panas  masing-masing setiap hari," ujarnya.

Secara tradisinya SUPP dijangka akan meletakkan calon di tujuh kawasan Parlimen iaitu di Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang, dan Miri seperti PRU14 yang lalu.