BANDAR BAHARU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Pas memandangkan parti 'Pak Lebai' itu dilihat tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam membentuk kerjasama politik.

Menurutnya, pendekatan yang itu diambil bukan menunjukkan parti pimpinannya bersikap riak, ujub, sombong dan takbur, sebaliknya, sokongan pengundi ketika ini dilihat memihak kepada BN.

"(Saya nak katakan) jangan berunding selepas Pilihan Raya Umum ke-15, kita bukan riak, bukan sombong, kita bukan takbur, bukan ujub… Insya-Allah, rakyat dan pengundi telah sedar, mereka akan memberikan undi dan berikan kepercayaan semula kepada BN.

"Ketika itu, apabila kita jadi kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh nak jumpa kita, kita (akan) kata (kepada mereka), cukup sampai di sini, kita mesti kata juga, sayang sudah terlambat," tegas Presiden UMNO itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama sempena Majlis Pelancaran Program Solidariti Kestabilan Kemakmuran Peringkat Negeri Kedah di Dataran Serdang, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Zahid turut menyatakan bahawa pendirian pemimpin parti Pas juga sentiasa berubah kerana menggunakan ayat al-Quran dan hadis mengikut tafsiran sendiri walaupun ayat dan maknanya yang sama.

"Nak cakap siang pandang-pandang, nak cakap malam dengar-dengar 'Pak Lebai', apabila ada situasi politik baharu keluar, fatwa baharu… bila untuk diri dia, keluar fatwa baharu, bila nak salah orang lain, keluar nama baharu, (sebenarnya) ayat al-Quran tetap sama, hadis tetap sama, (tetapi mereka) tafsir (perkara itu) lain-lain.

"Cukuplah Pak Lebai, taubat cepat-cepat, Insya-Allah Allah akan beri kekuatan semula kepada kerajaan Barisan Nasional, (tetapi Pak Lebai) beritahu pula selepas PRU, kita berunding selepas PRU, (untuk itu sebenarnya) PM sudah jawab dengan tepat, pilihan raya lama lagi, BN (mahu) hadapi realiti sekarang," jelas beliau lagi.

Sementara itu, dalam konteks pentadbiran negeri Kedah, Zahid berikrar BN akan berusaha sebaik mungkin dalam memastikan negeri Jelapang Padi itu dirampas semula untuk membentuk kerajaan negeri setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kelak.