KINABATANGAN: Tidak mustahil untuk Barisan Nasional (BN) dan rakan kerjasamanya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 15 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

"Saya ada keyakinan (menang 15 kerusi) kerana saya melihat ia bukan sesuatu yang mustahil dan Insya-Allah mungkin lebih daripada 15 kerusi pun kedua-dua parti boleh dapat (menang)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program santai bersama rakyat di Dewan Kampung Suan Lamba di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen di Sabah menerusi kerjasama dengan GRS pada PRU15.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar berkata situasi berlaku di Tenom dan Beluran tidak menjejaskan peluang BN untuk memperoleh kemenangan di kedua-dua kerusi berkenaan.

"Saya yakin BN akan menang di Tenom dan Beluran," katanya.

Pada 11 Nov, Bung Moktar dilaporkan menggesa GRS mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Rubin Balang yang didakwanya menjadi dalang meletakkan anaknya Riduan Rubin sebagai calon Bebas dan kemudian menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sekali gus dianggap melanggar kerjasama GRS-BN pada PRU15.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula bertindak mempertahankan kerusi Parlimen Beluran dengan tiket Perikatan Nasional, menyebabkan pertembungan dengan calon BN Benedict Asmat di kawasan tersebut.

Di SANDAKAN, keyakinan sama turut disuarakan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang berkata kerjasama GRS-BN itu dijangka dapat dapat memenangi lebih daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini dalam PRU15.

Ketua Menteri Sabah itu berkata ini kerana rakyat sendiri dapat melihat kerajaan negeri dipimpin GRS-BN menekankan politik pembangunan dan perpaduan sebagai landasan untuk membawa kestabilan dan kemajuan di negeri ini.

Katanya kedua-dua aspek itu sangat penting untuk masa depan Sabah dan rakyatnya, berbanding pendekatan politik mengikut emosi hingga rakyat dan kawasan tidak terbela.

"Jadi bagi saya kalau kita berpolitik, kita mesti memikirkan politik pembangunan, kemajuan dan perpaduan. Jangan pakai (guna) perasaan, ada yang kita tidak senang hati sikit-sikit tidak mahu undi calon kerajaan, jadi kita rugi," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi hari ini.

Hajiji berkata Sabah mempunyai sumber yang banyak tetapi disebabkan politik, rakyat dan pemimpinnya berpecah belah sebelum ini menyebabkan negeri ini ketinggalan dari segi kemajuan.

BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menjalin kerjasama dengan GRS yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bagi mentadbir negeri ini.

Menerusi kerjasama itu, yang diteruskan pada PRU15 menyaksikan BN meletakkan calonnya di 12 kerusi Parlimen, manakala GRS bertanding di 13 kerusi Parlimen dengan keseluruhan 25 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

-- BERNAMA