KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ucapan beliau di Johor baru-baru ini telah disunting secara terpilih dan disebarkan oleh pihak lawan gabungan berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Muhyiddin menjelaskan tindakan lawan politik PN itu bertujuan memburukkan imejnya dan mencipta naratif palsu.

"Keseluruhan ucapan saya adalah lebih kurang 55 minit. Klip yang tersebar di TikTok dan media sosial ini adalah terhad selama satu minit dan 35 saat daripada keseluruhan ucapan.

"Saya secara khusus dan tidak berbelah bahagi bercakap tentang keperluan untuk kestabilan politik, keperluan untuk mengelakkan rasuah, keperluan untuk DAP menunjukkan kekangan dalam tuntutannya dan menghormati hak semua kaum di Malaysia termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kesiapsiagaan agensi di bawah KDN di tahap tinggi - Hamzah

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Jelas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pada minit ke-48 ucapannya, beliau secara khusus dan tidak berbelah bahagi menyatakan hasrat PN untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama agar tidak ada kaum yang ketinggalan.

Pada minit tersebut, Muhyiddin menjelaskan beliau menyebut: “Semua orang mesti makmur. Melayu, Cina, India mesti berkongsi bersama. Supaya kemakmuran negara kita dapat dikongsi oleh semua kaum".

Muhyiddin menjelaskan dalam ucapannya itu, beliau juga mengulangi komitmen PN terhadap keadilan dan kesaksamaan.

"Keseluruhan ucapan saya adalah untuk menggalakkan kestabilan, kedaulatan undang-undang, keadilan kepada semua kaum dan agama dan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Untuk rekod, saya mengulas klip video yang tular sepanjang tempoh pilihan raya ini di mana kumpulan agama asing secara khusus kelihatan mendoakan agar kerajaan jatuh ke tangan pembangkang," katanya lagi.

Muhyiddin menegaskan PN bermaksud kestabilan, keadilan kepada semua dan bebas rasuah.

Terdahulu, media melaporkan PKR akan membuat laporan polis dan memfailkan petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata tindakan itu akan diambil susulan satu video ucapan Muhyiddin yang tular di media sosial ketika tempoh berkempen, yang didakwa mengaitkan pembangkang dengan agenda Yahudi.