KUALA NERANG: UMNO Kedah mempunyai keyakinan tinggi untuk menang dan merampas semula negeri Kedah dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, cita-cita itu boleh dicapai berdasarkan laporan yang diterima membabitkan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) di negeri Jelapang Padi itu.

"Kita mempunyai keyakinan yang tinggi untuk bila berada dalam masa pilihan raya. Saya fikir bahawa laporan, aktiviti dan juga melihat pada suasana saya yakin bahawa kita boleh, boleh dapat yang kita cita-citakan (iaitu menang di Kedah).

"(Berkenaan hubungan dengan Pas di Kedah, saya rasa) tak payah komen," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Pusat Daya Maju Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), di Pejabat Kemas Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menegaskan bahawa urusan berkaitan pembubaran Parlimen dan penetapan tarikh PRU15 adalah merupakan kuasa dan hak prerogatif Perdana Menteri.

14 Ogos lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melaungkan keyakinan bahawa Pas mampu memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dalam PRu15.

Menurutnya, keyakinan itu dizahirkan berdasarkan asas bahawa Pas mendapat sokongan padu daripada rakyat negeri Kedah dan berada pada keadaan yang kuat ketika ini.