KUALA LUMPUR: Gabungan Vote Malaysia kesal dengan isu membabitkan kelewatan tiba kertas undi pos yang akan menjejaskan perancangan mereka untuk membawa 'suara' rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) dan Ireland pulang ke tanah air.

Pengarah Projek Vote Malaysia, Syed Rifqi Najmuddin berkata, semua undi pos sepatutnya dihantar kepada pengundi pada 7 November 2022, namun setakat ini masih ramai yang belum menerimanya.

Jelas Syed Rifqi, rancangan asal mereka adalah membuka 64 pusat kutipan undi untuk semua rakyat Malaysia yang berada di UK dan Ireland pada Selasa (15 Nov).

Bagaimanapun masalah kertas undi belum tiba, memaksa mereka membuka pusat itu pada Rabu (16 Nov), selain pusat kutipan undi di Malaysia Hall dibuka sehingga jam 5 pagi 17 Nov.

Katanya, semua kertas undi terbabit kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Heathrow untuk diterbangkan ke Malaysia.

"Vote Malaysia akan terbangkan balik undi pos pada 17 Nov hasil tajaan Malaysia Airlines. Kita akan buka 64 pusat kutipan di tiga kawasan. Kita ada pusat penjumlahan undi juga, jadi kita akan jumlahkan dan bawa ke London sebelum bawa balik ke Malaysia.

"Tetapi apabila undi pos tak sampai pada masa ditetapkan maka jadi masalah, kita perlu lihat semula logistik bagi membolehkan semua orang boleh mengundi.

"Kalau undi sampai lambat, nak pos balik pun lambat juga, sebab itu kita ambil inisiatif untuk terbangkannya balik," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih, pada Isnin.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Zahid jadi PM hanya mainan parti lawan'

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Justeru, Syed Rifqi yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di UK dan Ireland (UKEC) menggesa SPR agar segera mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu, dan laporan berkaitan perlu dibentangkan bagi membolehkan jalan penyelesaian diperolehi.

"Mereka perlu address heads on, beritahu apa yang mereka akan buat kerana undi itu kena keluar hari ini juga. Pastikan semua undi telah dipos agar ada masa yang cukup.

"Mereka tak boleh mengelak, perlu keluarkan kenyataan, mengundi ini juga hak mereka yang berada di luar negara.

"Bukan itu sahaja, mereka kena pastikan proses mengundi mudah dan boleh diakses semua.

"Sekiranya SPR gagal, kita perlu bangkitkan isu ini setiap masa supaya dalam pilihan raya umum akan datang, masalah ini tidak timbul lagi.

"Selepas tamat PRU15, SPR kena keluarkan laporan, bagaimana proses pengundian dilakukan sebab kita nak tahu ketelusan, apa masalah yang dihadapi supaya kita boleh beri saranan dan cadangan sewajarnya," tambahnya.

Terdahulu, dalam kenyataan dikeluarkan Vote Malaysia, tinjauan Jom Undi PRU15 mencatatkan 96.70 peratus daripada 339 pengundi pos masih belum menerima undi pos mereka pada tarikh 12 November 2022.