KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menampilkan tiga calon muda mewakili parti itu untuk bertanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dibuat Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, malam ini.

Beliau berkata, Amanda Yeo, 29, yang bekerja sebagai penyelidik akan mewakili Warisan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

"Seorang lagi calon muda ialah Chen Ket Chuin atau KC Chen, 28, bekerja sebagai peguam, akan mewakili Warisan di Parlimen Tawau.

"Pemuda berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Kimia iaitu Alex Thien, 31, akan menjadi calon Warisan bagi bertanding di Parlimen Sandakan," katanya.

Warisan sebelum ini sudah mengumumkan sembilan nama calon yang akan bertanding di Parlimen Sipitang, Kimanis, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Ranau.