KOTA KINABALU: Keputusan untuk bertanding di Parlimen Kota Marudu atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (Parti KDM) pada PRU15 dibuat atas semangat ingin mengeluarkan rakyat di parlimen itu daripada senarai 10 daerah termiskin di Malaysia.

Calon Parti KDM, Datuk Wetrom Bahanda berkata, beliau berikrar akan berusaha menaik taraf kemudahan prasarana di daerah tersebut selain akan memperjuangkan masalah ekonomi rakyat di Kota Marudu.

"Pada saya yang paling penting adalah kita melihat bagaimana Kota Marudu untuk lima tahun akan datang. Memang semua mempunyai sumbangan tetapi kita ingin yang terbaik untuk Kota Marudu.

"Jadi kalau saya menang dalam pilihan raya ini saya akan berusaha yang terbaik terutama dalam menaik taraf prasarana yang ada di Kota Marudu dan juga bagaimana kita menyelesaikan masalah taraf kemiskinan, yang mana kita adalah dalam 10 daerah termiskin di Malaysia," ujar Wetrom.

Bakal berhadapan dengan calon gergasi daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu iaitu, Datuk Seri Maximus Ongkili, Wetrom meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap kebijaksanaan pengundi dalam menentukan calon terbaik bagi mewakili mereka di daerah itu selepas pembuangan undi pada 19 November.

"Sudah semestinya pilihan raya akan ada persaingan terutamanya daripada beliau (Maximus), adalah seorang penyandang kerusi itu selama 30 lebih tahun di Kota Marudu dengan rekod tidak pernah kalah.

"Tetapi pada kita rakyat yang akan menilai. Saya melihat ini sebagai satu cabaran yang sihat bukan sahaja daripada beliau tetapi calon-calon lain yang juga mempunyai kredibiliti dan kemampuan. Jadi rakyat semua akan menilai di antara kami yang bertanding ini," jelas Wetrom.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Kota Marudu itu bertindak meletakkan jawatan sebagai Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri dan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat di bawah pimpinan Datuk Peter Anthony pada Oktober.

Beliau yang akan bertanding di Kota Marudu bakal berhadapan dengan calon gergasi, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili, serta calon daripada Parti Muda (MUDA), Shahrizal Denci.

Dua lagi kerusi Parlimen terbaharu yang akan ditandingi Parti KDM pada PRU15, Parlimen Pensiangan dan Beaufort bakal menampilkan dua wajah baru iaitu Jekerison Kilan, dan Datuk Hajah Johair Matlani menjadikan jumlah keseluruhan kerusi ditandingi Parti KDM sebanyak 7 buah kerusi.