Skip to main content

Politik

PRU16: DAP usah beri tekanan pada PM, hormat saluran bantahan atau sila letak jawatan - Penganalisis

PUTRAJAYA, 16 Ogos -- Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo (tengah) hadir pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menggesa Anwar menyegerakan reformasi institusi utama menjelang Disember, termasuk mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, serta memperuntukkan dana pembangunan kawasan secara saksama. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan DAP yang menetapkan tempoh empat bulan kepada kerajaan untuk menunaikan janji-janji reformasi akan memberi tekanan secara tidak sengaja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mampu menjerat parti itu sendiri.

Pakar Perlembagaan dari ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, prinsip tanggungjawab kolektif tidak mewajarkan ahli Jemaah Menteri membuat tentangan atau kritikan terbuka kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, sebarang pandangan boleh dikemukakan melalui saluran yang betul, dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Jika ada mana-mana ahli Jemaah Menteri tidak sependapat dengan Perdana Menteri sekalipun, ia boleh merekodkan bantahan dan usul tidak bersetuju dalam minit mesyuarat.

"Jika ahli Jemaah Menteri tidak dapat menghormati adab dan prinsip tersebut, dia lebih wajar meletakkan jawatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, DAP yang menguasai 40 daripada 150 kerusi Parlimen dalam blok kerajaan, mempunyai lima menteri dan tujuh timbalan menteri, menggesa Anwar menyegerakan reformasi institusi utama menjelang Disember 2026.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menggesa Anwar menyegerakan reformasi institusi utama menjelang Disember, termasuk mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, serta memperuntukkan dana pembangunan kawasan secara saksama.

Kenyataan itu selaras bagi meneruskan momentum daripada kongres DAP baru-baru ini apabila perwakilan membuat ketetapan untuk kekal dalam kerajaan tetapi mendesak pelaksanaan reformasi.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula dilaporkan berkata mereka akan membincangkan garis masa pelaksanaan perkara itu dengan Anwar.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, percanggahan dalam kalangan ahli Jemaah Menteri tidak akan memberikan gambaran kestabilan sebuah pentadbiran kerajaan selain memberikan tekanan yang tidak wajar kepada PM.

"Ahli Jemaah Menteri mewakili kepentingan kerajaan dan tertakluk kepada prinsip keluhuran Perlembagaan. Mereka perlu bezakan antara agenda parti dengan kewajipan kerajaan untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan.

"Perbezaan dan kritikan boleh ada, tapi hendaklah diuruskan mengikut saluran yang betul," katanya.

Must Watch Video

Advertisement