KUALA LUMPUR: Lagak 'abang long atau 'warlord adalah imej yang sudah sinonim dengan UMNO.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, dalam politik, peluang menjadi dominan sering kali menjadi matlamat utama setiap parti politik yang merasakan mereka masih relevan sebagai aktor yang mampu menawan sebahagian besar kehendak majoriti.
Tegasnya, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terutama Pas itu dilihat hanya cenderung kepada pakatan pilihan raya semata-mata.
"Memandangkan situasi di Johor dan Negeri Sembilan menjadi petunjuk utama kekuataan ini, tetapi dalam masa yang sama masih berdepan dengan ketidakpastian dalam memuktamadkan matlamat sebenar kerjasama atau sekadar mengulangi situasi yang sama sewaktu Muafakat Nasional dibentuk.
"Sudah dijangkakan isu utama dalam kerjasama ini adalah bagaimana untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 yang bakal tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Ariff berkata, isu paling utama adalah soal agihan kerusi.
Ujarnya, seandainya kejayaan kerjasama BN-PN terutama Pas ingin dicapai, rundingan politik harus mencapai konsensus yang jelas terutamanya dalam agihan kerusi.
"Masalah utama dalam kerjasama ini adalah berkenaan dengan tumpuan fokus pengundi yang sama iaitu di kawasan Melayu-Islam.
"Memang pemboleh ubah utama kejayaan kerjasama ini adalah salah satunya melihat kepada kesediaan PN-Pas untuk memberikan sedikit ruang kepada BN (kerusi) di negeri SG4," jelasnya.
Menurut beliau, seandainya langkah itu berjaya, tentu sekali ia juga bakal menjadi petanda besar sebagai pengesahan kepada kerjasama BN-PN.
Katanya lagi, kerjasama yang dilakukan itu seharusnya tidak hanya misi dan matlamat untuk kembali menjadi dominan dan meraih kekuasaan kembali.
"Jika elok, kerjasama ini perlu membuktikan mereka bukan mengangkat soal politik identiti yang menjadi teras kepada matlamat mereka tetapi juga mampu memberikan sebuah jaminan dan tawaran yang lebih baik untuk kesejahteraan pengundi dan majoriti rakyat yang memilih mereka," ujarnya.