KUALA LUMPUR: Naratif perkauman atau penyatuan berasaskan ketakutan tidak semestinya mencukupi untuk memenangi pengundi yang lebih kritikal walaupun ia mungkin masih mempunyai pasaran tertentu.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata, ini kerana pada akhirnya, mana-mana parti sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang tidak boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap integriti malah, kredibiliti mesti dibuktikan melalui rekod, reformasi institusi dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau menjelaskan, pengundi hari ini semakin sukar dipengaruhi hanya melalui sentimen, warna parti atau slogan penyatuan politik.
“Pengalaman beberapa pilihan raya lalu menunjukkan bahawa pengundi sanggup mengubah sokongan apabila timbul persoalan serius mengenai integriti, tadbir urus, kos sara hidup dan keupayaan sesebuah kerajaan mengurus negara.
“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan contoh penting apabila isu ekonomi, kepimpinan dan tadbir urus termasuk rasuah menjadi antara faktor yang membentuk sentimen pengundi ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, perkembangan mutakhir berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji juga tidak boleh dipandang ringan kerana laporan itu sendiri mengenal pasti kelemahan tadbir urus dan unsur campur tangan politik dalam beberapa keputusan yang dibuat bagi tempoh yang disiasat.
Dalam konteks FELDA pula, katanya, sabitan rasuah bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dipulihkan oleh Mahkamah Persekutuan dan usaha semakannya kemudian ditolak.
“Ini merupakan rekod institusi dan kehakiman yang boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap soal integriti,” ujarnya.
Namun, ujar beliau, mana-mana pihak tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa rekod lampau sahaja akan menentukan keputusan PRU akan datang kerana pengundi juga akan menilai kerajaan yang sedang memerintah.
Tinjauan Merdeka Center yang diterbitkan pada Jun lepas menunjukkan 73 peratus responden melihat isu ekonomi sebagai masalah terbesar rakyat, manakala hanya 42 peratus berpendapat negara berada di landasan yang betul.
“Ini menunjukkan pertarungan politik selepas ini bukan semata-mata mengenai siapa mempunyai rekod yang lebih buruk, tetapi siapa yang mampu menawarkan pentadbiran lebih bersih, ekonomi lebih baik dan kehidupan yang benar-benar dirasai rakyat,” jelasnya.