Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan penubuhan 'war room' dalam sayap parti itu sebagai satu keperluan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata menerusi 'war room' itu, pihaknya akan mengenal pasti kawasan yang perlu diberi perhatian serius supaya gerak kerja lebih fokus dan tersusun.

"Kita akan buka dulu 'war room' ini pada peringkat perhubungan negeri dan seterusnya ke setiap bahagian.

"Dengan pelaksanaan ini, kita harap dapat meningkatkan undi majoriti di kawasan yang difokuskan seterusnya merampas semula kawasan yang telah tewas," katanya kepada pemberita selepas menggulung dan menangguh Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2015 di sini pada Rabu.

Menyentuh mengenai usaha mewujudkan 'House of Talents (HOT)' seperti yang pernah beliau janjikan semasa kempen merebut jawatan tertinggi sayap parti itu pada 2013, Mas Ermieyati berkata ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Masjid Tanah, Melaka itu berkata objektif HOT adalah bagi mengumpulkan bakat-bakat seni sebagai aspirasi kepada wanita muda.

Terdahulu, dalam ucapannya Mas Ermieyati mengingatkan anggota sayap parti itu supaya tidak bersikap seperti anai-anai kerana sikap sedemikian boleh memutus dan menghancurkan UMNO.

Beliau sebaliknya mahu semua anggota pergerakan itu menjadi insan yang bukan sahaja dapat menyatukan ikatan ukhwah, malah dapat bergerak sebagai satu pasukan demi kelangsungan parti.

"Ya...memang betul hari ini parti menghadapi pelbagai cabaran tapi tidaklah sedahsyat yang digambarkan dulu. Sebab itu saya minta sahabat semua supaya sayangkan pemimpin dan hormati mereka.

"Apapun yang kita lakukan, kita kena ingat ia penting untuk masyarakat di luar sana yang memerlukan pembelaan," katanya.

Mas Ermieyati turut menarik perhatian dengan berkata hanya 54 daripada 191 ketua bahagian Puteri UMNO di seluruh negara akan kekal bersama sayap itu tahun depan, manakala selebihnya akan menyertai Wanita UMNO kerana umur telah melebihi 35 tahun.

"Sebab itu dalam tempoh baki dua tahun ini selain persiapkan diri, kita semua bertanggungjawab untuk menyediakan pelapis pemimpin akan datang," katanya.

Puteri UMNO meletakkan sasaran 500,000 anggota menjelang tahun 2017 dan setakat 20 Nov lalu, jumlah anggotanya adalah seramai 391,316 orang.