Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menyelar tindakan Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik isu penukaran Menteri Besar Kedah yang disifatkannya telah menyangkal kepimpinan Presiden UMNO.

Menurut Shahrizat, beliau hairan dengan pendirian Rafidah yang dilihatnya kini sudah berubah dengan membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu dalaman parti dan kepimpinan negara.

"Saya amat hairan dan geleng kepala melihat membaca posting beliau. Selama 22 tahun Tan Sri Rafidah memimpin Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin dan taat patuh kepada kepimpinan parti terutama kepada Presiden," kata Shahrizat melalui status terbaharunya di Facebook pada Jumaat.

Sayang Seribu Kali SayangWah, ada beberapa orang forward kepada saya posting Tan Sri Rafidah di Facebook mengenai isu...

Posted by Shahrizat Abdul Jalil on Thursday, February 4, 2016

Beliau mengulas mengenai kenyataan Rafidah yang dibuat melalui Facebook tentang isu politik semasa, kepimpinan UMNO dan kemelut politik di negeri Kedah.

WHAT NEXT ?I guess I will find myself sighing a lot more from now on.. Things seem to be flaring up like crackers...

Posted by Rafidah Aziz on Wednesday, February 3, 2016

"Sayang seribu kali sayang, Tan Sri Rafidah yang dulu kebal dengan prinsip, kini seakan terjebak dengan permainan pembangkang untuk melemahkan parti," tulis beliau.

Dalam pada itu, Shahrizat menyeru ahli sayapnya supaya terus beristiqamah dan memegang kepada prinsip kesetiaan dengan menyokong kepimpinan yang dibawa perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau (Najib) amat mengambil berat tentang perjuangan parti dan juga menjaga rakyat dengan baik di kala seluruh dunia menghadapi cabaran.

"Kesetiaan Wanita UMNO kepada Presiden dan parti tidak mudah goyah," tambahnya.

Terdahulu, Rafidah dalam satu posting di akaun Facebooknya telah mengaitkan penukaran jawatan Menteri Besar Kedah dengan budaya politik yang bersifat kepentingan diri dan tamak.

Katanya, seseorang pemimpin tidak lahir dengan menjatuhkan orang lain dari kedudukannya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya semua pihak bekerjasama untuk mengukuhkan lagi parti bagi mencapai objektif untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Rabu telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Krisis politik membabitkan kedudukan Mukhriz bermula sejak 20 Jan lepas, apabila ADUN dan anggota Parlimen Kedah serta pemimpin kanan UMNO Negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

BACA: Krisis MB Kedah: 17 ADUN BN adakan pertemuan tergempar

Mukhriz ketika mengumumkan peletakan jawatan tersebut berkata beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Susulan itu, Ahmad Bashah telah dilantik mengambil alih jawatan itu dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-12 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada Khamis.

BACA: Ahmad Bashah selamat angkat sumpah MB Kedah baharu