SHAH ALAM: Jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis membuat laporan polis berkaitan isu kiraan undi yang didakwa meragukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, dua hari lepas.

Shaari Abdul Malik berkata beliau hadir membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 3.56 petang tadi mewakili Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang bertanding di DUN tersebut.

Beliau mendakwa pihaknya mendapati berlaku keraguan di beberapa pusat mengundi di DUN berkenaan termasuk sejumlah 1,964 undi yang tidak dikembalikan.

"Walaupun kita kalah dengan 167 undi, perkara itu tetap dianggap keraguan besar kerana semua undi yang dinyatakan tidak dimasukkan dalam peti undi. Susulan itu, kita membuat laporan polis serta (akan buat) petisyen bagi tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima laporan itu dan ia akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mempertimbang untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan beberapa kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Selangor pada Sabtu lepas.

Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata antaranya DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia serta Dengkil yang majoriti kemenangan adalah rendah dan pihaknya mengambil maklum beberapa hal yang boleh dipertimbang untuk dibuat petisyen seperti kes kertas undi tidak dikembalikan di Sungai Kandis.

Pertembungan tiga penjuru kerusi itu dimenangi calon PN Wan Dzahanurin Ahmad dengan majoriti 167 undi selepas mendapat 28,926 undi menewaskan Mohd Zawawi (28,759 undi) dan Afriena Shaqira Sariff daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang meraih 1,341 undi.

-- BERNAMA