ALOR SETAR: Rakyat Kedah digesa memilih pemimpin negeri yang mampu mentadbir dan menguruskan negeri dengan efektif daripada memilih berdasarkan populariti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menekankan keperluan menubuhkan sebuah kerajaan negeri mampu menguruskan pembangunan ekonomi negeri dengan baik.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, semua rakyat Kedah memerlukan ekonomi yang kukuh.

"Sebab itu tuan-tuan dan puan-puan kita kena fikir, ini (pemerintahan negeri) bukan untuk watak populis, bukan mahu popular.

"Kita nak jadi kerajaan, tak penting popular. Yang pentingnya boleh menguruskan negeri ini. Yang paling penting adalah bagaimana mengurus untuk rakyat dapat ekonomi yang baik," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Pakatan Harapan-Barisan Nasional,di sini pada malam Ahad.

Beliau turut menekankan kemajuan negeri bergantung kepada hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Tambah beliau, pertikaian kerap dengan pemimpin di peringkat Persekutuan dikhuatiri menghalang sebarang kemajuan dalam projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

Mahdzir berkata, tindakan pemimpin negeri yang sentiasa mencari masalah dengan pemimpin pusat akan memberi kesan kepada Kedah.

"Padang hujungnya, (pemimpin negeri) bawa surat, sampai duduk bersama Perdana Menteri, minta juga sama Perdana Menteri. Tapi macam mana Perdana Menteri nak bagi kalau hari hari kamu maki ini Perdana Menteri," katanya.

Justeru itu, ujar beliau, menteri bsar yang dipilih harus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

"Orang nak makan, bayar bil elektrik, bayar rumah, bayar kereta, beli susu untuk anak-anak. Itulah perkara paling penting, tak perlu membincangkan perkara lain sebagai menteri besar, tak perlu nak cari gaduh," katanya. - Sinar Harian