KUALA LUMPUR: Perbahasan melibatkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antilompat Parti dicadang turut menumpukan kepada isu gabungan parti selain hanya memberi fokus kepada individu.

Penganalisis politik Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin menjelaskan, RUU baharu itu mungkin tidak ubah seperti peruntukan sedia ada, iaitu Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, jika isu berkenaan tidak turut diketengahkan.

Perkara 48 Perlembagaan adalah perkara yang menyatakan kehilangan hak seseorang sebagai Ahli Parlimen. 

"RUU tidak menjamin perkara itu. Ia hanya melarang perubahan antara parti ke parti lain, meloncat-loncat.

"Ia tidak memberi peraturan bahawa, kalau ia (lompat parti) menyebabkan keruntuhan parti kerajaan, maka akan dikenakan hukuman dan larangan secara blanket kepada semua.

"Itu tiada. Yang ada, berfokus kepada individu, bukan parti," kata Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI malam tadi. 

Justeru, Shamsul Amri berkata, perkara itu perlu diberi perhatian dalam perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat ketika ini. 

"Ia perlu dilihat kerana implikasinya ialah, masih lagi seperti semangat Perkara 48, di mana individu itu harus dibatalkan keahliannya dalam Parlimen, kerana loncat parti.

"Pada saya, itulah tujuan RUU Antilompat Parti, iaitu mendisiplinkan ahli politik supaya kekal taat setia dan menerima mandat rakyat dan tidak bertukar fikiran," katanya.

Beliau menambah, RUU berkenaan dilihat hanya sebahagian sahaja berguna, namun tidak mampu menentukan jatuh bangun kerajaan. 

"Apa yang kita nak buat ialah, kita nak kawal ahli politik yang kita anggap mudah ubah fikiran atau mudah dibeli satu pasukan atau parti lain. 

"Jadi, undang-undang ini berguna hanya sebahagian sahaja, tetapi ia tidak menentukan jatuh atau bangun kerajaan. Ia hanya boleh melihat secara individu mereka yang membuat pilihan.

"Kalau mereka pindah berkelompok, macam dahulu, apabila orang UMNO masuk Bersatu, atau orang PKR membuat Sheraton Move, itu yang nak dihalang.

"Kalau strategi ahli-ahli ini lebih berfikir dan lebih matang, mereka akan kata, okey saya sokong kerajaan, tapi dalam polisi tertentu di Parlimen, saya sokong lain. Itu pun kita tak boleh kawal," ujar Shamsul Amri lagi. 

BACA: Tun M sokong RUU Antilompat Parti, tapi perlu ada pengecualian tertentu

Agenda AWANI: Tiada lagi katak politik? 

Sementara itu, turut senada, Dr G Manimaran yang melihat kekurangan RUU Antilompat Parti yang disifatkan terlalu fokus kepada hanya satu aspek, iaitu individu yang melompat parti.

Penganalisis politik yang juga penulis buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia' itu berkata, perubahan politik hari ini menuntut RUU berkenaan diperhalusi lagi bagi memberi keseimbangan antara kepentingan pengundi dan parti politik atau calon bertanding.

"Kita hanya melihat satu aspek. Apabila bercakap mengenai pilihan raya, ada dua kutub, satu calon wakil rakyat, satu lagi pengundi yang ada kuasa untuk mengundi.

"Jadi, dalam RUU ini saya berharap kita akan memberi perhatian yang seimbang antara dua kutub ini, tetapi nampaknya ada kekurangan di pihak pengundi.

"Apakah mereka hanya mengundi pada hari tersebut dan kemudian hilang kuasa atau mandat mereka?

"Beralih kepada kutub parti dan calon pula, kita lihat hanya kepada individu yang menang dan kemudian mereka keluar (parti) dan diambil tindakan, iaitu mereka kena lepaskan (jawatan) dan bertanding balik.

"Tetapi bagaimana dengan parti atau gabungan? Sebab, jelas pada 2018, ada beberapa gabungan atau pakatan besar, seperti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Di Sabah juga ada banyak parti dan ia berubah setiap hari atau fluctuate.

"Kalau lihat semua ini, kita kena halusi keperluannya. Kita bertanding sebagai satu 'rumah', tetapi mereka keluar, apakah hukuman kepada mereka? Kalau mereka keluar dalam satu kumpulan, ia akan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Kalau ia berterusan, adakah ia akan membuatkan ketidakstabilan? Bukan sahaja melibatkan individu atau seorang dua, tetapi satu komponen dalam pakatan," tambah Manimaran. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku ketidakstabilan politik susulan kekurangan dan kelompongan dalam pelaksanaan RUU berkenaan kelak.

"Kita kena bawa paradigma baharu. Semua pemimpin perlu terbuka dan buat satu lagi libat urus dan fikir ke depan, sebab kita nak wujudkan landskap pilihan raya yang profesional, berintegriti.

"Sebab, sekarang orang mempersoalkan mengenai integriti dalam kalangan institusi Parlimen, Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan pengurusan pilihan raya.

"Jadi, perubahan perlu secara makro dan bukan secara 'touch and go' macam sekarang. Kita kena ke arah itu. Kalau tidak, tadbir urus politik kita tidak ke mana-mana," tegasnya. 

Persidangan Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada ucapan penggulungan dan pengundian bagi RUU tersebut.

Agenda AWANI: Tiada lagi katak politik?