Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa Samad ditetapkan pada 5 Februari

Pada 6 Mac tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Mohd Isa selepas membenarkan rayuannya. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah telah dijadualkan semula kepada 5 Feb tahun depan di Mahkamah Persekutuan.
Ringkasan AI
- Pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dijadualkan semula pada 5 Feb tahun depan di Mahkamah Persekutuan.
- Tarikh pendengaran semula ditetapkan kerana Mohd Isa dimasukkan ke hospital, memaksa penjadualan semula dari tarikh asal pada 4 Dis.
- Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac lepas untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Mohd Isa atas pertuduhan terbabit.
Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan petisyen rayuan pada 26 Jun dengan 24 alasan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika melepaskan dan membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan.
Pada 6 Mac tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Mohd Isa selepas membenarkan rayuannya.
Panel itu sebulat suara mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang dijatuhkan kepada Mohd Isa.
Mahkamah Rayuan juga membatalkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Dis 2015.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 21(1) akta sama, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


