KUALA TERENGGANU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempersoalkan nasib Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada 11 April ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu perlu dijelaskan agar mereka yang terlibat tidak dihukum termasuk dirinya dan empat Ahli Parlimen yang digugurkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Menurut Mukhriz, pihaknya menyokong pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, namun butirannya perlu diperincikan.

"Kalau nak kata lompat parti, Bersatu itu secara hampir keseluruhannya yang melompat daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

"Yang kekal berprinsip ialah kami enam orang termasuk Syed Saddiq dengan Maszlee. Jadi kenapa kami pula yang kena kosongkan kerusi.

"Jadi yang itu yang saya kira persoalan macam ini perlu dibahas dan dipersetujui apa penyelesaiannya, untuk meyakinkan rakyat bahawa proses demokrasi kita ini masih boleh dipercayai," katanya.

Sebelum ini keahlian Mukhriz dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digugurkan daripada Bersatu kerana duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020.

Turut mengalami nasib sama ialah bekas ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.