IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada jam 5.30 petang hari ini (Isnin, 21 November).

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anuar Zaini pada sidang media di pekarangan Istana Kinta, di sini, sebentar tadi.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah mempersembahkan nama seramai 33 ADUN yang menyokong gabungan itu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tambah beliau, untuk bersikap adil, Sultan Nazrin turut menitahkan Timbalan Pengerusi 1 Perikatan Nasional (PN) Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menghadap baginda.

Kedua-dua wakil PN itu kemudian mengakui bahawa mereka tidak mempunyai jumlah sokongan ADUN yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak.

"Oleh kerana wakil daripada PN tidak membantah, tidak mengatakan mereka juga ada angka, jadi Duli Yang Maha Mulia berpuas hati dengan apa dipersembahkan BN dan PH.

"Mereka hanya mengemukakan nama tunggal calon sebagai Menteri Besar iaitu ADUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Oleh kerana ada satu persefahaman dan secara terhormat PN terima keadaan itu, dan memandangkan pentingnya Dewan Negeri segera bersidang, Duli Yang Maha Mulia perkenan pada jam 5.30 petang ini untuk Istiadat Angkat Sumpah di Istana Iskandariah (Kuala Kangsar)," katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN merupakan gabungan dengan majoriti terbesar apabila memperolehi 26 kerusi DUN dengan PH memiliki 24 kerusi dan BN pula sembilan kerusi.

Sesebuah gabungan perlu memiliki sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan di Perak yang mempunyai 59 DUN keseluruhannya.