KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan UMNO sesi 2023-2026 yang telah dipilih baru-baru ini dapat mengukuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan pemimpin-pemimpin yang dipilih kali ini diakui setia dengan UMNO dan ia akan membantu untuk mengukuhkan kerajaan sedia ada.

"Tahniah kepada (Datuk Seri) Zahid kerana kepimpinan baharu ini juga akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai presiden.

"Apabila kedudukan Zahid kukuh maka kedudukan kerajaan juga kukuh tanpa ada cubaan untuk menarik sokongan.

"Kerajaan yang ada hari ini boleh bertahan hingga habis penggal dan memastikan negara stabil untuk menarik lebih banyak pelabur asing," katanya.

UMNO selesai mengadakan pemilihan partinya pada Sabtu lepas dan menyaksikan dua muka baharu diberi peluang berada di kerusi naib presiden.

Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dipilih untuk jawatan naib presiden selain Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah pula mendapat undi paling tinggi untuk jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berpendapat, sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan mendapatkan sokongan secara individu tidak akan berjaya.

Hujah beliau, akta antilompat parti yang ada hari ini menghalang sebarang usaha untuk membeli mana-mana Ahli Parlimen untuk bertukar parti.

"Mungkin ada yang lupa tentang akta antilompat ini yang menghalang mendapatkan sokongan secara individu dari mana-mana Ahli Parlimen.

"Akta ini dibuat untuk memastikan tidak ada lagi langkah (di) mana-mana hotel atau usaha-usaha 'tebuk atap' yang dibuat sebelum ini.

"Cukup-cukuplah cubaan jatuhkan kerajaan, biarlah negara kita ini stabil dan pelabur boleh masuk untuk kukuhkan ekonomi.

"PRU16 nanti bertarung lah, kalau betul mendapat sokongan tentu lah boleh menang dan boleh membentuk kerajaan.

"Kalau tengok keputusan PRU15 lalu, dalam Perikatan Nasional yang kuat cuma Pas, kawan saya Shahidan Kassim buat keputusan tepat sertai Pas dan bukan parti lain," katanya lagi.