Naib Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Chong Chen Bin mengesahkan bahawa pihak Istana Negeri telah berjumpa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberi surat jemputan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, malam ini.

Menurut Chong, pihak Istana yang tiba di kediaman rasmi Mohd Shafie pada jam 2 petang tadi bertujuan untuk memberi surat jemputan angkat sumpah sekaligus menguatkan lagi kedudukan Presiden Warisan itu sebagai Ketua Menteri Sabah yang terbaharu.

"Timbalan Presiden (Darrel Leiking) telah mengumumkan bahawa kita telah mendapat surat jemputan daripada pihak istana.

"Justeru, Presiden (Shafie) akan datang ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah malam ini,"katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Presiden Warisan, di sini, hari ini.

Chen Bin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor juga mengesahkan bahawa kesemua 35 ADUN Warisan telah menerima jemputan pihak Istana pada malam ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Warisan, Darrel Leiking turut mengesahkan majlis angkat sumpah Ketua Menteri Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal akan diadakan pada jam 9 malam ini.