ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dicabar menyiasat tiga skandal yang didakwa dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa mentadbir negeri Kedah.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) didakwa mengalami kerugian RM36 juta dan berhutang RM149 juta semasa PH mentadbir negeri itu antara 2018 hingga 2020.

Dakwanya, kerajaan Kedah di bawah pemerintahannya terpaksa menggunakan dana lain untuk membayar hutang tersebut bagi menyelamatkan syarikat berkenaan.

"Dia (Saifuddin) selalu tanya suruh kita jawab, malam ini (Rabu) saya nak tanya, hang jawab pula. Masa kamu (PH) jadi kerajaan 2018 hingga 2020, SADA mengalami kerugian RM36 juta dan ada hutang RM149 juta, pasal apa masa itu kamu tak siasat?

"RM36 juta dan RM149 juta itu saya yang bayar, kenapa kamu tak siasat, pergi siasat. Dengan jumlah RM185 juta itu PH punya kerja, Pudin (Saifuddin) sila siasat," katanya semasa berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini, Rabu malam.

Tambahnya, Saifuddin juga digesa menyiasat perjanjian dibuat BN dengan sebuah syarikat semasa memerintah untuk membangunkan Jerai International Park namun perjanjian itu didakwa dilanggar menyebabkan kerajaan negeri disaman dan dituntut RM50 juta.

"Setelah rundingan 30 tahun, kerajaan negeri tahun ini diperintah membayar RM21 juta, kenapa hang (Saifuddin) tak siasat?" ujarnya.

Muhammad Sanusi turut mempersoalkan ketika BN memerintah negeri ini juga terdapat duit Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM13 juta didakwa dipindahkan ke Kanada dan perkara itu dakwanya tidak siasat.

"Zaman BN, pemimpin BN buat kerja ini, sekarang BN dan PH 'cium mulut'. Yang kena bayar kita rakyat Kedah yang hidup hari ini, yang buat kerja BN. Pudin (Saifuddin) sila siasat dah kamu rajin sangat pergi siasat," kata beliau lagi.

Pengerusi PN Kedah itu berkata, pendedahan terpaksa dibuat selepas dirinya terus diasak dengan pelbagai isu termasuk kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Menurutnya, isu politik sepatutnya diselesaikan di medan politik dengan hujah, bukannya menggunakan agensi kerajaan untuk mengambil tindakan.

"Ada bercambah fail lagi di pejabat saya dan tak pernah sekalipun dalam tiga tahun ini kita berhasrat melondehkan keburukan sesiapa," kata penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu. - Sinar Harian