SEPANG: Ketua Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan gabungan itu akan mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) pada jam 3 petang Selasa.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan akan dimulakan dengan pertemuan Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Advertisement
“Sebaik sahaja selesai, kita akan meneruskan dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH yang turut dipengerusikan Presiden parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata agenda mesyuarat seterusnya akan melibatkan pertemuan di antara pimpinan PH dan BN.
Menurut beliau, kesemua mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang Selasa di Putrajaya.
“Ini adalah pertemuan biasa. PH dan BN sememangnya kerap mengadakan perbincangan bersama.
“Namun, jadual hari ini sedikit menarik perhatian susulan perkembangan politik semasa termasuk isu melibatkan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pertemuan tersebut bukan bertujuan membincangkan sebarang kemelut politik tertentu.
“Kita akan menyentuh pelbagai perkara, tetapi bukan dalam konteks kemelut. Ini pertemuan rutin,” katanya.
Tambah beliau, satu kenyataan akan dikeluarkan selepas mesyuarat selesai bagi memaklumkan hasil perbincangan kepada umum.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan mesyuarat Biro Politik di antara PH dan BN akan turut membincangkan isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut beliau, perkara itu merupakan antara beberapa isu penting yang akan dibawa ke meja rundingan.
Sementara itu, pada Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya isu berkaitan status Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dibawa ke meja perundingan di antara BN dan PH.