KUCHING:Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memohon untuk dikecualikan daripada darurat bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) dijalankan.

Bagaimanapun menurut Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, permohonan itu bergantung kepada sejauh mana negeri itu berjaya mengawal penularan COVID-19.

“Sekiranya kita berjaya melandaikan lengkuk COVID-19 di negeri ini, kita akan membuat permohonan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk dikecualikan daripada darurat bagi mengadakan PRN.

“Sekiranya permohonan diperkenan Baginda, maka kita boleh menjalankannya kerana kita sepatutnya mengadakan PRN pada Jun ini, namun segala keputusan yang dibuat pasti akan mengambil kira keadaan semasa,” kata Masing.

Terdahulu pada 12 Januari 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan dijalankan sepanjang tempoh darurat yang berakhir pada 1 Ogos 2021.

Keputusan dibuat bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 seperti mana yang terjadi selepas PRN Sabah pada tahun lalu.

Untuk rekod tempoh mandat kerajaan Sarawak ketika ini adalah sehingga Jun 2021 dan PRN-12 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.