KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P036, Kuala Terengganu bakal berdepan dengan persaingan sengit 'satu lawan satu' apabila penyangangnya Datuk Ahmad Amzad Hashim dari Pas akan ditentang pencabar dari PKR.

Ahmad Amzad akan berdepan dengan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail.

Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh sejam penamaan calon tamat pada jam 10 pagi ini.

Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Anuar Awang berkata, Ahmad Amzad mengemukan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi manakala Azan pada pukul 9.13 pagi.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan, dan setelah selesai menyemak, saya berpuas hati dan memutuskan hanya dua calon mengemukakan borang pencalonan," katanya ketika membuat pengumuman calon di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, pada Sabtu.

PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas kemenangan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  lalu dibatalkan mahkamah.

Ahmad Amzad, memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zuber Embong (22,109), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) mendapat 10,946 undi dan calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar, 481 undi.

Bagaimanapun, kemenangan Ahmad Amzad terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN, Mohd Zuber untuk membatalkan kemenangannya pada PRU15.

Keputusan itu dibuat mahkamah selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.

Sementara itu, calon tunggal Pas yang merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Zuraida Md Noor dinamakan sebagai calon PRN bagi DUN Ladang.

Beliau akan bertembung dengan calon Barisan BN, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Pencalonan Zuraida adalah menggantikan penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang memilih tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Tengku Hassan memenangi kerusi berkenaan selepas berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Sabri Alwi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan memperolehi undi sebanyak 8,201 manakala Mohd Sabri (7,838).

Kali terakhir Pas meletakan calon wanita adalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 menerusi DUN Kuala Besut.